top of page
  • Writer's picturemaster zek

168) Kisah benar rakyat : Saiful dengan gaji minima RM1,500 tanggung 6 orang anak



Oleh : Ikaz


KUALA LUMPUR, 1 Disember –


Usai kisah kemelut politik tanah air, kini rakyat Malaysia kembali berpijak di dunia nyata. Kembali kepada realiti kehidupan. Masalah kehidupan seharian iaitu pendapatan yang tidak mencukupi khususnya bagi warga kota.


Kisah ingin dipaparkan kali ini berkaitan En. Saiful (nama panggilan Epol) merupakan seorang bapa berumur 45 tahun. Mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan 6 orang anak dalam lingkungan umur 8 bulan hingga 21 tahun. Tinggal di Sg Tangkas, Bangi, Selangor. Namun bekerja di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.


Epol bekerja sebagai Pegawai Pemasaran di MB Sahi Multipool Holding (M) Sdn Bhd beralamat Menara Uncang Emas, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Beliau diberi gaji sebanyak RM1,500 sebulan tanpa potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tanpa potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


Epol berulang alik dari Sg Tangkas, Bangi ke pejabat di Jalan Loke Yew Kuala Lumpur lebih kurang 35km sehala setiap hari selama 2 tahun hingga kini dengan menaiki motorsikal. Ada kala menaiki LRT apabila motorsikalnya rosak.


Dengan berbekal gaji RM1,500 sebulan dan menanggung seorang isteri serta 6 orang anak-anak, bagaimanakah agaknya kehidupannya? Gaji 1,500 ditolak makan minum dan perbelanjaan anak-anak, apa yang tinggal?


Masih relevankah gaji minimum RM1,500 mengikut Perintah Gaji Minimum 2022 yang telah diwartakan Kerajaan Persekutuan pada 27 April 2022 di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 ?


Sebagai penggubal undang-undang, apakah tindakan Yang Berhormat (YB) yang dilantik bagi menyuarakan masalah rakyat? Apakah tindakan yang telah dilakukan oleh Menteri Sumber Manusia (sebelum ini) bagi membela nasib rakyat seperti ini?


Saya yakin, kisah Epol merupakan salah seorang daripada jutaan kisah warga kota yang tinggal dan hidup di Lembah Klang. Jika RM1,500 itu adalah nilai yang sangat sukar untuk kehidupan seorang individu di Lembang Klang, apatah lagi kehidupan seorang bapa dengan menanggung seorang isteri dan 6 orang anak-anak? 8 mulut perlu disuap makan dengan nilai RM1,500 itu. Logik kah?


Walaupun Epol sepatutnya dikategorikan di bawah B40. Beliau tidak layak menerima Bantuan Rakyat Malaysia (BRIM) atau Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Ini dinyatakan sendiri oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Maka apakah nasib Epol dan keluarganya? Adakah kesalahan perlu diletakkan ke atas LHDN?


Bagi penulis, ini bukan masa untuk menunding jari kesalahan kepada mana-mana pihak. Tetapi lebih kepada mencari jalan penyelesaian. Bagaimanakah keluarga seperti Epol boleh dibantu meneruskan kehidupan dengan pendapatan yang mencukupi?


Oleh itu, saya paparkan kisah ini kepada masyarakat umum semoga mendapat perhatian pucuk pimpinan negara khususnya Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. YAB Perdana Menteri, moga dapat memahami, bahawa berjuta lagi rakyat Malaysia yang mengalami kehidupan seperti Epol ini. Mohon bantulah mereka ini.


Kepada sesiapa yang sudi membantu Epol dan keluarganya baik dengan wang ringgit atau peluang kerja yang lebih baik, boleh salurkan maklumat kepada emel masterzaki@gmail.com. Moga dengan suara ramai kita dapat bantu sesama kita. Insya Allah.


Comments


Top Stories

bottom of page