top of page
  • Writer's picturemaster zek

174) Natijah polemik isu Sijil UEC oleh Dong Jiong Zong (DJZ) : Apa yang perlu anda tahu?


Oleh : Ikaz


KUALA LUMPUR, 1 Disember –


Beberapa hari ini, polemik isu Sijil UEC oleh Dong Jiong Zong (DJZ) kembali menguasai muka depan akhbar-akbar utama. Namun bagi mereka yang masih tidak cakna mengenai hal ini, sukalah penulis menjelaskan seberapa ringkas mengenai isu yang hangat ketika ini.


Bagi memahami dengan jelas isu tersebut, biarlah penulis menghuraikan beberapa akronim yang sering digunakan bagi memudahkan kefahaman. Antaranya ialah :-


SIJIL UEC


UEC adalah singkatan untuk ‘United Examination Certificate’ (UEC) iaitu Sijil Lepasan Sekolah Menengah Cina persendirian. Ia juga dipanggil Sijil Peperiksaan Bersama.


Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.


*Sukatan mata pelajaran UEC adalah berasal sepenuhnya dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).


JIAO ZONG


Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia juga disebut sebagai ‘Jiao Zong’. Ditubuhkan pada 25 Disember 1951. Penubuhan Jiao Zong adalah satu tindak balasan kepada dasar pendidikan kerajaan British pada masa tersebut.


Memetik kertas kerja Ho Kee Chye, Pusat Pengajian Cina Malaysia dalam kertas kerjanya bertajuk, “Peranan Dong Jiao Zong dan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Pengendalian dan Perkembangan Pendidikan Bahasa Ibunda” :-


“Atas keresahan tentang masa hadapan pendidikan ibunda, beberapa pejuang pendidikan ibunda seperti Dato’ Sim Mow Yu, Lim Lian Geok dan lain lain telah mencadangkan penubuhan sebuah pertubuhan yang bertaraf nasional untuk mempertahankan pendidikan Cina. Hasil daripada usaha usaha mereka, Jiao Zong telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Jiao Zong merupakan organisasi yang pertama dalam mempertahankan pendidikan ibunda di Malaysia. Sepertimana yang dikatakan oleh Jiao Zong sendiri:


“...Kerajaan British ingin menghapuskan pendidikan Cina melalui Laporan Barnes, menyebabkan guru guru sekolah Cina terpaksa bersatu hati untuk mencari jalan penyelesaian. Maka, Jiao Zong ditubuhkan bagi menghadapi keadaan yang genting,” Jiao Zong Jianjie.


Jiao Zong telah menetapkan matlamatnya seperti berikut:

1. Menjalin hubungan pertalian guru guru sekolah Cina di seluruh Malaysia, membela kebajikan mereka dan mengembangkan budaya Cina;

2. Mengkaji dan memajukan pendidikan;

3. Menuntut kedudukan yang saksama di dalam pendidikan Cina dan kewarganegaraan kaum Cina.

DONG ZONG


Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia juga dipanggil sebagai ‘Dong Zong’.


Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) ditubuhkan pada 22 Ogos 1954. Ahli-ahlinya terdiri daripada persatuan lembaga pengurus sekolah atau persatuan lembaga pengurus dan guru-guru sekolah Cina dari setiap negeri di seluruh negara.


Ahli-ahlinya di peringkat negeri adalah pertubuhan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan. Anggota AJK persatuan lembaga pengurus sekolah cina di setiap negeri terdiri daripada pengurus/pengelola sekolah yang dipilih melalui pemilihan dalaman atau dilantik oleh pertubuhan lain, lazimnya mereka merupakan individu atau wakil persatuan tempatan yang mengambil berat tentang pendidikan Cina.


Memetik kertas kerja Ho Kee Chye :


“Pada awal penubuhan, Dong Zong meletakkan pejabatnya di dalam bangunan Majlis Perhimpunan Cina Selangor dan Jiao Zong. Keadaan ini membolehkan Dong Zong selalu bekerjasama dengan Huatuan (Persatuan persatuan Cina) dan Jiao Zong dalam menentang dasar dasar yang mengancam kewujudan pendidikan Cina. Sehingga pada tahun 1994, Dong Zong baru memindahkan pejabatnya ke Kajang. Kini, ahli-ahli Dong Zong terdiri daripada Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Rendah Cina atau Sekolah Menegah Persendirian (Du Zhong) yang berperingkat negeri di seluruh Malaysia.”


DONG JIAO ZONG (DJZ)


Memetik kertas kerja Ho Kee Chye :


“Untuk membela nasib bahasa dan pendidikan ibunda, masyarakat Cina telah menuntut hak mereka dengan menggabungkan sumber dan tenaga yang terdapat di dalam komuniti mereka. Usaha sedemikian telah membawa kepada penubuhan dua buah pertubuhan yang amat berpengaruh di dalam sejarah pendidikan Malaysia sejak dekad 1950an , iaitu Jiao Zong, atau Gabungan Persatuan Guru Guru Sekolah Cina Malaysia (The United Chinese School Teachers Association of Malaysia, UCSTAM ) dan Dong Zong, atau “Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia” ( United Chinese School Committees Association of Malaysia , UCSCAM ).”


Disebabkan kedua-dua pertubuhan ini mempunyai matlamat perjuangan yang serupa, saling berganding bahu membantah pelbagai polisi yang dianggap akan mengancam perkembangan dan kepentingan pendidikan ibunda Cina sehingga mereka selalu dirujuk sebagai Dong Jiao Zong (DJZ). DJZ masih memainkan peranan yang penting dalam pendidikan ibunda Cina sejak zaman 1950-an sehingga hari ini.


Disebabkan pendirian DJZ yang selalu membantah dasar dasar bahasa dan pendidikan yang tidak adil kepada bahasa dan pendidikan ibunda, mereka sering dilabel dengan sifat sifat “chauvinisme”, “racialisme”, “komunisme” dan sebagainya.


Atas usaha gigih DJZ sehinga hari ini, masyarakat Cina berjaya mengendalikan 61 buah Du Zhong di Malaysia dan 3 buah institusi pengajiaan tinggi swasta (IPTS), iaitu Kolej New Era (Kajang, Selangor), Kolej Universiti Selatan (Skudai, Johor) dan Kolej Han Chiang (Georgetown , Pulau Pinang).


MENGAPAKAH SIJIL UEC HARUS DITOLAK?


Banyak pendapat yang diberikan, namun penulis hanya menyatakan beberapa yang jelas seperti berikut :-


1. Sukatan mata pelajaran UEC adalah berasal sepenuhnya dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).


2. Dasar kerajaan untuk tidak mengiktiraf UEC kerana ia dilihat bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Pengajaran, kurikulum dan peperiksaan UEC yang ditadbir oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong adalah di luar kawalan dan pemantauan kerajaan. Mereka menentukan sendiri kurikulum, silibus dan buku teks yang diguna pakai.


3. UEC tidak tertakluk kepada kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan dari segi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kebangsaan, Sejarah, budaya dan pembentukan identiti kebangsaan dalam pembinaan negara bangsa.


4. Ini berbeza dengan peperiksaan-peperiksaan awam yang lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang dikelola oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Majlis Peperiksaan Malaysia yang patuh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.


NATIJAH YANG AKAN BERLAKU JIKA SIJIL UEC DIIKTIRAF KERAJAAN


Dalam bahasa mudah difahami, mereka yang mengambil Sijil UEC ini hanya menggunakan bahasa Cina (atau bahasa selain Bahasa Melayu) dalam silibus pelajaran mereka.


Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutan telah diketepikan dalam Sijil UEC ini.


Maknanya, jika Sijil UEC diiktiraf kerajaan, maka para pelajar yang mengambil Sijil UEC tidak perlu mengambil peperiksaan kebangsaan seperti Sijil SPM. Dalam Sijil SPM mereka perlu lulus dengan kepujian untuk Bahasa Melayu. Tetapi dalam Sijil UEC, subjek Bahasa Melayu tidak penting. Cukup dengan lulus cemerlang dalam Bahasa Cina atau bahasa-bahasa lain.


Dengan pengiktirafan Sijil UEC maka Bahasa Melayu akan terpadam dalam sejarah pendidikan kebangsaan.


Kemudiannya, Sijil UEC jika telah diiktiraf kerajaan akan menjadi sijil utama untuk pengambilan pekerja di semua sektor awam dan swasta. Juga untuk pengisian para pelajar ke universiti awam dan swasta.


Sebagai contoh, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) nanti hanya perlu merujuk Sijil UEC untuk pengambil pejawat awam baharu. Mereka yang cemerlang dalam Bahasa Cina atau bahasa lain akan diambil menjadi pejawat awam kerana merit mereka yang cemerlang dalam semua subjek kecuali Bahasa Melayu.


Mereka cemerlang berbahasa Cina (sebagai contoh) dan tidak perlu fasih berbahasa Melayu. Maka natijahnya lama-kelamaan nanti semua sektor awam di isi oleh rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu. Adakah ini yang kita harap-harapkan?

Bagaimana pula di Pusat Pengajian Tinggi Awam dan Swasta apabila Sijil UEC diiktiraf? Tidakkah kita hairan nanti jika di semua universiti awam dan swasta semua para pelajar fasih berkomunikasi dalam bahasa SELAIN BAHASA MELAYU?


Mungkin tiada lagi yang berkomunikasi dalam Bahasa Melayu di universiti dan pusat pengajian tinggi di Malaysia suatu hari nanti. Inikah negara Malaysia yang kita cita-citakan?


Oleh itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menolak sekeras-kerasnya pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil UEC.


Setidak-tidaknya pucuk pimpinan negara yang diterajui YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memperhalusi hal ini dengan sewajarnya sebelum membuat apa-apa keputusan.


PPIM dan juga pelbagai NGO yang lain sudi menghadiri apa-apa forum atau meja rundingan bagi memperbincangkan hal-hal sensitif begini daripada membiarkan ia menjadi ‘barah’ terpendam yang akan membunuh bangsa dan negara suatu hari nanti. “Bahasa Jiwa Bangsa”.


Hayatilah kata-kata Laksamana Hang Tuah, “Takkan hilang Melayu di dunia.”


-Tamat-

Comments


Top Stories

bottom of page