top of page
  • Writer's picturemaster zek

179) Surat dari pembaca ruangan rencana Utusan Malaysia - 17 Disember 2022

Buang segera legasi buruk Bersatu


Saudara Pengarang,


Kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak harus memandang remeh kesan buruk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasi­fik (CPTPP) yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Sebelum ini, seorang bekas menteri dari Bersatu bertindak menghantar surat ratifikasi penyertaan Malaysia sepenuhnya dalam perjanjian perdagangan bebas itu. Surat penyertaan tersebut dihantar tidak sampai seminggu sebelum Parlimen dibubarkan, awal Oktober lalu.


Bagaimanapun, Bersatu dalam satu kenyataan pada 5 Disember lalu terus mempertahankan CPTPP dengan menuduh bantahan pelbagai pihak hanya melibatkan kumpulan-kumpulan aliran kiri yang antiperdagangan terbuka dan antiekonomi pasaran.


Dengan adanya CPTPP, Bersatu mendakwa nilai eksport Malaysia akan mencecah RM1.65 trilion pada 2030 dan dijangka memberi akses ke pasaran baharu seperti Mexico, Peru dan Kanada.


CPTPP kini melibatkan segelintir negara dunia atau lebih tepat 11 negara iaitu Kanada, Mexico, Chile, Peru, Australia, Brunei, Jepun, Malaysia, New Zealand, Singapura dan Vietnam.


Ramai yang tidak mengetahui bahawa langkah itu akan menyebabkan syarikat-syarikat besar dari 10 negara anggota termasuk Singapura memonopoli pasaran Malaysia.


Ini kerana terkandung dalam perjanjian itu satu terma yang menyatakan jika kerajaan Malaysia gagal melayan syarikat asing sama seperti syarikat negara kita, maka syarikat asing itu boleh mengheret negara kita ke dalam satu tribunal antarabangsa di bawah peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negara (ISDS) yang membolehkan mereka menerima pampasan besar.


Ia menyamai pampasan sebanyak RM320.27 juta yang perlu dibayar Malaysia kepada Singapura bagi kos ditanggung akibat pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR). Pampasan itu dibayar ketika pemimpin utama Malaysia adalah dari Bersatu.


SAYUR


Antara sektor yang akan berlaku monopoli syarikat besar dari Singapura adalah pemborongan dan pengedaran sayur-sayuran segar.


Pada masa sekarang, terdapat persaingan sihat antara banyak pemborong kecil tempatan sehingga membolehkan harga sayur-sayuran segar dikekalkan pada kadar munasabah.


Ini kerana jika mana-mana pemborong menawarkan harga terlalu rendah, para petani mempunyai pilihan untuk menjual kepada pemborong lain.


Ini adalah satu contoh bagaimana mekanisme pasaran bebas berfungsi secara adil. Ia dapat berfungsi dengan baik kerana tiada pemain industri yang menikmati kedudukan monopoli.


Akan tetapi, syarikat dari Singapura dengan modal besar boleh cuba mengembangkan perniagaannya dengan membeli daripada petani-petani pada harga lebih mahal berbanding pemborong tempatan dan menjual pada harga lebih rendah di peringkat runcit.


Dengan cara ini, syarikat asing itu boleh memonopoli sebahagian besar daripada pasaran dalam tempoh beberapa tahun sebagai satu proses menyingkir keluar banyak pemborong kecil tempatan.


Apabila syarikat asing itu mencapai kedudukan yang dominan dalam pasaran sayur-sayuran segar, ia akan dapat merendahkan harga ditawarkannya kepada petani. Pada masa sama, meningkatkan harga bahan makanan itu yang ditawarkannya kepada pasar raya dan pasar basah.


Dengan itu, harga sayur-sayuran untuk rakyat Malaysia akan melambung tinggi angkara monopoli syarikat asing. Bagi saya, Kerajaan Perpaduan perlu menolak CPTPP kerana ia adalah legasi buruk Bersatu yang akan merosakkan negara. – UTUSAN


KHAIRUL IZHAR, Kuala Lumpur


Sumber : Utusan Malaysia


Comments


Top Stories

bottom of page