top of page
  • Writer's picturemaster zek

180) Langkawi International Half Marathon (LIHM) 2022 – Dua kejutan telah berlaku


Oleh Ikaz


KUALA LUMPUR, 19 Disember –


Acara larian antarabangsa yang pertama kali dianjurkan iaitu Langkawi International Half Marathon (LIHM) 2022 telah dianjurkan pada Sabtu 17 Disember di Pulau Langkawi telah mencetuskan dua kejutan.


Kejutan pertama, mengenai kematian mengejut (kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) seorang peserta LIHM 2022 sebelum tamat acara larian.


Kejutan kedua, mengenai juara kategori 5km (Fun Run) yang dimenangi oleh remaja tempatan yang juga penduduk Langkawi berusia 15 tahun.


Encik Shahrizan Saad selaku Kapten Langkawirunners dan juga Pengarah Larian LIHM ketika dihubungi penulis menyatakan bahawa kejadian yang menimpa Allahyarham Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi, 37 merupakan suatu kejadian yang tidak dijangkakan. Ia juga bukan berkaitan hal keselamatan dalam acara tersebut.


Shahrizan ketika dihubungi berkata, “Saya bersama pasukan penganjur telah mengunjungi isteri dan keluarga Allahyarham Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi yang meninggal dunia dalam acara tersebut. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas hal yang telah berlaku. Penjelasan telah diberikan. Mereka berpuas hati dengan penjelasan kami. Ini kerana ia bukan kesilapan mana-mana pihak. Diharapkan ia tidak menjejaskan penganjuran LIHM di masa akan datang.”


Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, “Allahyarham adalah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga peserta LIHM 2022.


"Siasatan awal mendapati ketika menghampiri garisan penamat di hadapan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.


"Petugas perubatan dan anggota APM memberi bantuan awal termasuk melakukan CPR sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM)," katanya dalam kenyataan kepada media.


Shariman berkata, bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi ketika dalam perjalanan ke HSM.


"Ujian pengesanan Covid-19 didapati negatif dan mayat dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.


Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


Mengenai kejutan kedua dalam LIHM 2022 - juara kategori 5km (Fun Run) yang dimenangi oleh remaja tempatan berusia 15 tahun yang juga merupakan penduduk Langkawi.


Muhammad Farid Ikhwan Bin Firdaus, 15 tahun yang merupakan pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang , Langkawi merupakan juara kategori 5km (Fun Run) LIHM 2022 yang juga disertai oleh ramai pelari dari negara asing.


Beliau merupakan anak sulung kepada Encik Firdaus bin Idris, seorang Penyelia Asrama Sekolah dan Puan Norasyma binti Zainal seorang suri rumah.


Muhammad Farid Ikhwan atau mesra dipanggil Dik Wan memang banyak kali menjuarai kejohanan olahraga khususnya larian jarak jauh atau marathon. Beliau juga mewakili sekolahnya dalam kejohanan anjuran Majlis Sukan Sekolah Daerah - MSSD dan MSSK.


Antara kejohanan yang pernah dimenangi adalah Larian Fun Run Underwater World Langkawi.


Ibu saudaranya, Puan Nurul ketika dihubungi menyatakan, “Sekiranya anak buahnya yang dipanggil Dik Wan ini mendapat bantuan pihak tertentu khususnya pihak kerajaan bagi membentuk Dik Wan menjadi juara dalam acara olahraga, mungkin Dik Wan boleh menjadi wakil negara di kejohanan olahraga dunia dan mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti. Ini kerana baru berusia 15 tahun, Dik Wan telah berjaya memenangi pertandingan marathon yang disertai oleh ramai peserta negara asing.”


Tambahnya lagi, “Sesiapa yang sudi melatih Dik Wan menjadi pelari profesional boleh hubungi guru sekolah tempat Dik Wan belajar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang , Langkawi.”


Video Dik Wan :-




Comments


Top Stories

bottom of page