top of page
  • Writer's picturepatv ppim

64) PPIM TUBUH GSR PLATFORM BANTU RAKYAT PILIH PEMIMPIN TERBAIK


PLATFORM NETIZEN DAN NGO BANTU NEGARA


Oleh : Ikaz - 8 November 2022.


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan platform dalam talian dikenali sebagai Gerakan Sukarelawan Rakyat (GSR) dengan sasaran menjadikannya sebagai pusat rujukan untuk rakyat Malaysia memilih pemimpin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan @Toqqi, berkata platform itu diwujudkan bagi membolehkan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), memantau dan memastikan calon yang dipilih akan menjalankan tugas mereka dengan baik sebagai wakil rakyat.


Beliau berkata, inisiatif mewujudkan GSR demi mengembalikan kepercayaan terhadap sistem demokrasi selain menimbulkan kesedaran rakyat khususnya anak muda supaya keluar mengundi bagi memastikan negara tidak jatuh ke tangan golongan tidak bertanggungjawab selain memberi rakyat kebebasan memilih pemimpin yang mampu memperjuangkan hak mereka.


“Selain menyediakan maklumat dan panduan, GSR juga membolehkan NGO membuat saringan memilih setiap wakil rakyat yang bertanding dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).


“Kita juga mahu pastikan calon yang bertanding berintegriti dan NGO akan memantau setiap pergerakan wakil rakyat yang dipilih selepas PRU15. Aplikasi ini akan menjadi mata dan telinga rakyat dalam memastikan calon yang menang menjalankan mandat yang diberi rakyat,” katanya pada majlis pelancaran GSR di Pejabat PPIM, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri wakil NGO yang juga rakan kerjasama PPIM antaranya Semboyan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Kasih Setia Malaysia, calon Parlimen P080 Raub, Dato Fakrunizam Ibrahim daripada Perikatan Nasional (PN); dan calon Parlimen P097 Selayang, Muhammad Zaki Omar yang bertanding sebagai Calon Bebas.


Mengulas lanjut penubuhan GSR, Toqqi berkata, pihaknya tidak menyebelahi mana-mana parti, sebaliknya hanya menyokong dan mengangkat calon yang benar-benar layak bagi memastikan krisis politik negara yang semakin parah mutakhir ini dapat diselesaikan demi kebajikan rakyat.


Beliau menegaskan PPIM dan rakan NGO dalam GSR menolak calon yang terlibat dalam gejala rasuah, tiada integriti dan akhlak berada dalam kerajaan selepas ini.

Katanya, GRS juga diwujudkan dengan menyediakan maklumat tepat mengenai calon yang diluluskan PPIM dengan tujuan membantu pengundi memilih calon terbaik demi masa depan negara.


Ia boleh dilayari menerusi pautan www.gsrpru15.com


Comments


Top Stories

bottom of page