top of page
  • Writer's picturepatv ppim

Perubahan Iklim Politik Dunia

Keputusan pilihanraya umum Itali sedikit mengegarkan dunia Eropah apabila Giorgia Meloni, seorang nasionalis berhaluan paling kanan atau far-right nationalist bakal menjadi Perdana Menteri wanita pertama di Itali selepas partinya Fratelli d’Italia berjaya memenangi pilihanraya tersebut. Ini adalah kemenangan pertama parti berhaluan “far-right” di Itali semenjak Perang Dunia Kedua. Kemenangan ini berlaku tidak lama selepas parti “far-right” Sweden memenangi undi kedua terbanyak.


Kemenangan Sweden Democrats telah menghambat parti berhaluan Sederhana Kiri atau “centre-left” dari kekuasaan dan mencetuskan kemungkinan ideologi “far-right” akan mempunyai peranan penting dalam kerajaan Sweden nanti.


Dunia sedang bergerak perlahan-lahan menuju ke arah “far-right” dan nasionalis bangsa ini. Bahkan di Amerika Syarikat, negara yang mengwar-warkan diri mereka sebagai negara liberal juga mula dilanda gerakan “far-right” global dengan radikalisasi Parti Republican. Begitu juga di India semenjak pemerintahan Narenda Modi dan Brazil di bawah Jair Bolsonaro. Modi pantas memanipulasi gerakan anti Islam yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat dan Eropah untuk mencetuskan kebangkitan nasionalis Hindu.


Negara-negara koloni British juga mula bercakap mengenai memutuskan hubungan dengan monarki British. Tahun 2021, Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand pernah berkata New Zealand akan menjadi republik dalam jangka hayat beliau. Kematian Queen Elizabeth III mencetuskan semula perdebatan sama ada New Zealand perlu menjadi republik. Paling “stunt” adalah aksi melempar keranda bertulis “RIP British Empire” dekat Dublin yang disertai dengan pekikan slogan “ Get the Brits Out Now!” oleh demonstran.


Fahaman nasionalis ini berakar hasil implikasi daripada Perjanjian Westphalia yang memposisikan negara bangsa sebagai sebuah institusi yang mendominasi segala aspek kehidupan manusia. Ia kembali mekar semenjak tahun 2019 lagi. Krisis-krisis yang muncul susulan dari pandemik Covid-19 seperti perang Russia-Ukraine, krisis ekonomi dengan ramalan kemelesetan ekonomi pada tahun depan oleh Bank Dunia, krisis keselamatan makanan, krisis tenaga di Eropah, dan sebagainya menyebabkan masyarakat dunia mula beralih kepada fahaman ini.


Malaysia juga nampaknya mula terpalit dengan fenomena atau trend politik global. Pengumuman Menteri Sumber Manusia untuk membawa masuk 10,000 pekerja dari Sri Lanka disambut dengan komen negatif dari netizen. Komen negatif terkait isu imigran ini menunjukkan tanpa sedar kita sebenarnya sedang mendakap erat “far-right nationalism” ini.


Bahkan, kutipan pecah panggung filem Mat Kilau mencecah 100 juta ringgit walaupun terdapat pelbagai komen positif dan negatif menunjukkan majoriti rakyat Malaysia khusus orang Melayu sedang dipaut dengan trend kebangkitan nasionalis negara-bangsa ini. Trend ini juga dijangka akan kekal untuk tahun-tahun mendatang jika dilihat dari statistik kadar kelahiran dan kadar kesuburan mengikut etnik di Malaysia.

Comments


Top Stories

bottom of page